Tampilkan postingan dengan label Kaligrafi. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Kaligrafi. Tampilkan semua postingan

Selasa, 07 April 2009

Zaman Khulafa’ al-Rasyidin

Kepentingan tulisan semasa pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin semakin bertambah dengan meluasnya penggunaan tulisan dalam urusan-urusan agama, pentadbiran dan muamalat harian.

Semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, al-Quran ditulis di atas berbagai-bagai bahan seperti halnya semasa zaman Rasulullah s.a.w. bahan-bahan ini dikumpul oleh Zaid bin Thabit dan kemudian ditulis di atas lembaran-lembaran yang sejenis.

Apabila para penghafiz al-Quran semakin berkurangan disebabkan syahid di medan peperangan dan timbulnya kelainan bacaan al-Quran di pelbagai tempat, maka Khalifah Uthman bin Affan mengambil lembaran-lembaran yang dicatat oleh Zaid bin Thabit yang diletakkan dalam simpanan Hafsah binti Umar r.a

Kemudian, beliau menitahkan Zaid bin Thabit, Abdul Rahman bin Amru al-As, Abdullah bin al-Zubair, Ibn al-Abbas dan Abdul Rahman bin al-harith bin Hisham supaya menyalin semula naskhah itu untuk dihantar ke segenap pelosok negara.

Apabila siap disalin, Uthman r.a sendiri mengambil satu naskhah untuk simpanannya.

Dalam sesetengah riwayat menyebutkan yang beliau juga turut mengutuskan naskhah-naskhah itu ke Makkah, Yaman dan Bahrain.

Beliau juga turut mengutuskan bersama-sama naskhah itu seorang qari sebagai guru.

Kesemua naskhah ini disalin di atas lembaran kulit dengan dakwat hitam. Naskhah-naskhah itu tidak mempunyai titik, baris dan hiasan bungaan. Ia juga tidak mempunyai nama-nama surah dan tanda-tanda yang membezakan di antara ayat-ayat dalam setiap juzuk dan sebagainya

Pada masa kekuasaan Khalifah Uthman bin Affan, penulisan mushaf masih kaku kerana tidak mempunyai tanda baca.

Untuk menghindarkan dari salah dalam membaca, ahli bahasa iaitu Abu al-Aswad bin Sufyan ad-Duali ( w. 69H/688M ) memasukkan tanda baca dan juga titik diatas perintah khalifah Ali bin Abi Talib

Tugas yang dilakukan oleh Abu Aswad tadi juga merupakan permulaan kepada asas ilmu nahu Arab apabila kesilapan bahasa dalam pertuturan semakin bertambah dan lari dari bahasa yang betul ditambah pula dengan kesilapan dalam pembacaan al-Quran al-Karim

Usaha yang dilakukan oleh Abu al-Aswad amat penting. Beliau membariskan dengan teliti kalimah-kalimah al-Quran dari awal hingga akhir dengan menggunakan kaedah yang diasaskannya sendiri

Kaedahnya ialah dengan meletakkan titik di atas huruf untuk menunjukkan baris atas, titik di bawah sebagai menunjukkan baris bawah, titik di depan huruf sebagai baris hadapan dan dua titik untuk menunjukkan baris dua.

Ini merupakan suatu peristiwa penting dalam sejarah al-Quran, tatabahasa dan penulisan Arab.

Titik ( dengan erti baris ) bertujuan untuk menghilangkan kesamaran dalam tulisan merupakan satu inisiatif untuk memelihara agar tidak terpesong ketika membaca ayat-ayat al-Quran

Titik yang diletakkan oleh Abu al-Aswad bagi menunjukkan baris adalah berbentuk bulat.

Oleh kerana ia sebagai tambahan ke atas matan yang tertulis dengan dakwat hitam, maka titik-titik itu ditulis dengan dakwat merah untuk membezakannya darpada matan-matan.

Disebabkan bimbang jika simbol-simbol yang diletakkan menyebabkan percampuran, maka simbol-simbol ini diletakkan dalam bentuk garisan-garisan nipis yang condong dari kanan ke kiri atau dalam baris yang sama, yang lebih luas penggunaannya.

Kemudian ia ditulis dengan dakwat hitam kerana ia dianggap sebagai binaan asal bagi huruf

Khat Islam Zaman Rasulullah

Islam datang dengan membawa beberapa faktor tentang betapa perlunya penggunaan tulisan yang semakin bertambah luas ruang penggunaannya. Bidang penulisan telah memasuki era baru yang bergemerlapan dengan kedatangan Islam.

Selepas penghijrahan Nabi ke Madinah, seni khat telah menjadi manifestasi bagi suatu perubahan yang agung yang mengatasi perkembangannya selama tiga abad sebelum itu.

Dengan turunnya lima ayat pertama kepada Nabi s.a.w yang dimulai dengan firman Allah s.w.t.: Iqra’ ( bacalah ),maka penulisan telah memperoleh kepentingan suci yang sehingga kini masih kukuh terpelihara

Kemudian turun pula ayat-ayat lain yang sering mengaitkan penulisan dengan sumber ketuhanan dan memerintahkan penggunaannya sehinggalah tulisan mendapat kedudukannya dalam kehidupan umat Islam sebagai salah satu keperluan asas

Nabi memerintahkan para sahabat merakam maklumat-maklumat dengan tulisan dan mewasiatkan mereka memelihara tulisan tersebut.

Baginda juga menggesa supaya mengajar anak-anak mereka membaca dan menulis.

Mengarah tawanan Perang Badar supaya mengajar anak-anak Ansar membaca dan menulis sebagai bayaran tebusan diri mereka.

Baginda sendiri mengendalikan urusan kelab latihan tulis-menulis di Madinah dengan tujuk ajar dari individu-individu dan sahabat-sahabat yang telah mahir dalam kemahiran menulis.

Hasilnya, wujud dikalangan mereka orang yang mahir dalam banyak bahasa seperti Zaid bin Thabit yang mempelajari bahasa Parsi, Rom, Qibti dan Habsyah semasa di Madinah

Beliau juga menterjemah surat-surat balasan kepada Rasulullah s.a.w yang ditulis dalam bahasa-bahasa tersebut.

Sesetengah daripada mereka diperintahkan menulis dalam beberapa lapangan dan tajuk-tajuk tertentu seperti menulis perjanjian dan surat-surat yang diutuskan oleh Nabi kepada raja-raja dan lain-lain lagi.

Terdapat juga dikalangan para sahabat yang mengetahui bahasa Hebrew dan Suryani dan pakar dalam tulisan-tulisannya

Selain itu, Baginda juga menekankan tentang soal sifat bentuk huruf-huruf yang berbagai-bagai itu.

Memberi perhatian khusus kepada huruf-huruf ini adalah asal-usul khat. Perbezaan bentuk huruf-huruf, misalnya antara sin dan shin yang dirujuk oleh Rasulullah s.a.w dengan segera mengilhamkan para penulis khat berusaha melahirkan nilai-nilai khas kepada huruf-huruf dalam bahasa arab.

Pada zaman Rasulullah SAW antara penulis khat adalah seperti Ali Bin Abi Talib, Uthman Bin Affan, Umar Al-Khattab, Abu Bakar al-Siddiq, Khalid Bin Said Bin Al-As, Hanzalah Bin Rabi`, Yazid Bin Abi Sufian, Muawiyah Bin Abi Sufian, Ubai Bin Ka`ab, Zaid Bin Tsabit, Ubai Bin Ka`ab dan ramai lagi.

Ubai Bin Ka`ab adalah antara penulis awal semasa zaman nabi SAW di Madinah, sebagai penulis surat-surat Rasulullah, manakala Zaid Bin Tsabit sebagai pengganti ketika ketiadaan beliau. Mereka berdua juga turut menulis wahyu Allah SWT.

Abdullah bin arqam juga dikatakan sebagai penulis surat kepada Baginda SAW, manakala Ali pula dikatakan penulis perjanjian yang berlaku antara mana-mana pihak dengan Rasulullah SAW.

Muawiyah pula menjadi penulis selepas pembukaan Mekah, termasuk juga menulis wahyu atas arahan Rasulullah SAW